HAMBA-HAMBA ALLAH

BILANGAN HAMBA ALLAH

Tuesday, February 5, 2013

"La Adri" Tanda Berhati-hati?

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG sekali ana menulis entry sekali itu ana mengucapkan kata bahawa ana adalah insan yang kerdil yang lemah serta tidak berdaya sepenuhnya. manusia yang mengaharapkan segala-gala dari RabbNya. maafkan ana andai ana tersalah langkah.

Assalamualaikum w.b.t
ana copy dan paste sahaja dari artikel ILUVISLAM.com
permulaan untuk diri ini untuk bermujahadah
masih merangkak untuk membuat penulisan sendiri
maafkan ana akan kekhilafan ini...
^_^




alt
Dalam karya agung Hujjatul Islam al-Imam Ghazali r.h. ada menyebut dalam bab pertama kitab Ihya Ulumuddin mengenai mereka yang bergelar ulama. Menurut beliau ulama terbahagi kepada dua golongan yakni ulama dunya atau ulama usuukdan ulama al-akhirah.
Ulama dunya adalah ulama yang menggunakan agama demi sedikit kepentingan keduniaan seperti habuan wang ringgit, anugerah dan pangkat. Kebiasaan ulama jenis ini akan mendampingi para penguasa bagi memastikan matlamat mereka tercapai, malah kadang-kala mereka sanggup mengeluarkan fatwa demi membenarkan tindakan penguasa meskipun ianya adalah jelas salah di sisi syarak.
Manakala antara ciri utama para ulama akhirat adalah tidak tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa. Mereka akan sentiasa berdiri teguh dan sentiasa mencari jalan melepaskan diri daripada memberikan fatwa.
Kata Imam Ghazali,
"Jikalau mereka ditanya mengenai hukum yang benar-benar jelas ada dalam al-Quran dan Sunah, ijmak dan qias maka berfatwalah mereka. Dan apabila ditanya kepada mereka sesuatu yang diragukan, maka mereka akan menjawab, 'La adri (aku tidak tahu)', jika mereka ditanya mengenai sesuatu yang hampir diyakininya, berdasarkan ijtihad dan tekaan mereka, maka mereka akan berhati-hati, mempertahankan diri dan menyerahkan penjawapan kepada orang lain, jika ada kemampuan tersebut pada orang lain." (Ihya Ulumuddin, jidil 1)
Kerana ulama akhirat adalah berhati-hati sifatnya, dalam perbuatan mahupun kelakuan. Pada mereka al-hazmu berhati-hati besar manfaatnya, kerana mereka tahu andai ijtihad itu dilakukan tanpa suatu kajian dan ilmu khusus ia menjadi fatwa ikut-ikutan dan pastinya besar implikasinya kepada diri mereka khususnya masyarakat yang mengambil fatwa mereka sebagai pegangan.
Rasulullah SAW pernah berpesan,
"Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)"
(Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar, hadis marfu')
Jelas di sini bahawa kemuliaan seorang ulama itu bukan sahaja kepada ketinggian ilmu mereka namun sikap berhati-hati dan tawaduk mereka. Akhlak sebegini mungkin akan mendatangkan telahan yang pelbagai dalam kalangan masyarakat namun mereka sedar bahawa walaupun mereka berilmu pastinya diri mereka juga punya kelemahan. 

Para ulama salafus soleh antara ulama yang mempunyai kualiti ilmu, iman dan takwa yang tinggi di sisi Allah taala. Namun mereka jua dalam keadaan tertentu lebih selesa berkata la adri bagi sesuatu hukum dan perkara yang mereka tidak tekuni. Berkata la adri juga antara cara yang lembut bagi menyatakan ketidaktahuan kita.
Asy-Sya'bi berkata,
"La adri adalah setengah daripada ilmu. Sesiapa yang berdiam diri kepada perkara yang tidak diketahuinya kerana Allah taala, maka tidak akan kurang pahalanya berbanding orang yang berkata-kata. Kerana mengaku bodoh adalah perbuatan yang berat bagi seseorang itu."
Begitu juga halnya yang berlaku kepada Abdullah Ibnu Umar saat dirinya ditanya bagi mendapatkan fatwa. Beliau berkata dengan tegas,
"Pergilah kepada ketua kamu yang sudah menerima beban tanggungjawab segala urusan manusia. Maka letakkanlah urusan tersebut kepadanya."
Demikian juga, adalah mustahil bagi seorang manusia biasa sebagaimana tinggi dan alimnya ilmu mereka dapat menjawab semua persoalan yang diusulkan. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri apabila ditanya kepada Baginda sesuatu yang tidak atau belum diketahuinya, tanpa segan dan takut maruahnya sebagai pemimpin agung orang Islam tercalar, baginda akan menjawab, "La adri."
Ibnu Mas'ud menerangkan,
"Orang yang memberi fatwa terhadap semua persoalan yang diminta kepada mereka fatwanya adalah gila!" Seterusnya beliau menyambung, "Benteng orang alim itu adalah la adri. Jikalau ia menyalahkan benteng itu, maka sesungguhnya bencana akan menimpa di tempat-tempat mereka berperang."
Justeru, wajarlah kita sebagai orang Islam mengambil iktibar daripada para ulama muktabar salafus soleh dalam urusan harian kita. Janganlah menjerumuskan diri kita ke dalam lembah kehinaan hanya kerana sebuah ego dan takut dianggap orang tidak berilmu.
Setiap persoalan khususnya mengenai agama dan hukam-hakamnya mesti dijawab dengan berhati-hati agar tidak berlaku penambahan atau pengurangan dan jika tidak tahu maka jawab sahaja, "La adri".
Ayuh kita hayati kisah daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,
"Tatkala Rasulullah SAW ditanyakan mengenai tempat yang terbaik dan terburuk di bumi, maka Nabi SAW menjawab, 'La adri' sehingga datang Jibril kepada Baginda dan ditanya kepada Jibril. Jibril menjawab, "La adri." Sehingga kemudian Allah taala sendiri yang memberitahu kepada Baginda bahawa tempat yang terbaik adalah masjid, manakala tempat yang terburuk adalah pasar."
(Direkodkan oleh Ahmad, Abu Ya'la, Al-Bazzar dan Al-Hakim daripada Ibnu Umar)
Bayangkan Rasulullah sendiri tanpa memikirkan betapa malu dirinya yang dianggap sebagai seorang utusan Allah yang mendapat wahyu apabila menjawab tidak tahu apabila ditanya. Namun dek kerana dirinya benar-benar tidak tahu, Rasulullah sanggup berkata tidak tahu berbanding mereka-reka seterusnya berbohong demi tidak mahu malu.
Ini adalah sunnah dan teladan kepada kita umatnya, pengajaran yang sangat besar ada di sana yakni kejujuran dan kebenaran adalah lebih penting daripada kesombongan dan maruah diri sendiri.

Saturday, February 2, 2013

Dunia Yang Hilang

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG sekali ana menulis entry sekali itu ana mengucapkan kata bahawa ana adalah insan yang kerdil yang lemah serta tidak berdaya sepenuhnya. manusia yang mengaharapkan segala-gala dari RabbNya. maafkan ana andai ana tersalah langkah
alt
Sesungguhnya matlamat hidup di atas dunia fana ini hanya satu, adalah untuk tunduk kepada Allah yang Maha Esa dan meraih redha Allah. Namun, acapkali jika kita cuba pandang di sekeliling kita, ramai manusia zaman kini lebih mementingkan redha manusia berbanding redha Allah. Seakan redha manusia itulah sumber kebahagian di dunia mahu pun akhirat. Seakan redha manusia itulah penentu kehidupannya diberkati.
Redha manusia? Ya, redha manusia. Jika disingkap kehidupan manusia... marcapada lebih menitik beratkan kepada kemewahan, kesenangan, dan hiburan. Sebagai contoh; sesetengah manusia sekarang berlumba lumba untuk menjadi cantik hanya kerana untuk mendapat pujian dan layanan yang baik. Ada pula yang sanggup berbelanja lebih untuk memiliki barang berjenama hanya untuk dijaja di mata orang lain.
Tidak salah untuk memakai barangan berjenama, hanya yang kurang sedap di lihat jika ianya melebihi keperluan yang ada sehingga ada yang hanya di pakai sekali dua kemudian di simpan buat koleksi menambah harta. Andai dana tersebut diguna dan dibelanjakan untuk bersedekah, alangkah baik dan murninya sikap sedemikian rupa?
Tidak juga salah untuk berfesyen mengikut arus kota yang bertamadun. Namun, hanya kurang sedap di lihat jika ianya berfesyen sehingga lupa pada halal dan haramnya. Tudung singkat yang masih menampakkan bayangan leher dan rambut, mekap tebal menyilaukan pandangan sehingga boleh menimbul syahwat pada yang melihatnya. Bukankah indah jika bersederhana dan sempurna dalam mengikut syariat menutup aurat? Bukan sahaja aurat dijaga rapi bahkan akhlak juga sentiasa menghiasi.
Sama-sama kira renungi diri, kelak apabila kita pergi meninggalkan dunia ini, pasti kain putih jua yang akan membaluti tubuh kita. Amalan mulia jualah sebagai 'make up' diri kita. Jika cantik amalan kita, maka tentu 'cantik' jugalah diri  kita bertemu denganNya.
Sama-samalah kita muhasabah, niat di hati tu sentiasa diperbaiki agar segala yang kita lakukan hanya semata-mata kerana Allah. Biarlah apapun yang manusia lain perkatakan,  kerana yang tahu nawaitu kita hanya Allah sahaja. Sesungguhnya niat kita itu penilainya adalah Allah, bukan manusia. Maka setiap niat kita sandarkanlah ia hanya lillahitaa'la. Misalnya niat untuk menutup aurat, biarlah kerana Allah ta'ala, jangan niat pakai tudung hanya untuk cantik. Biar kita tidak cantik di mata manusia, asalkan kita cantik di sisi Allah. 
Sabda Nabi Muhammad SAW daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :
"Islam itu bermula sebagai sesuatu yang asing dan akan kembali asing, maka sampaikan lah berita gembira kepada orang orang yang terasing itu."
(Hadis Riwayat Muslim no. 145)
Sesungguhnya apa yang baginda khabarkan kepada kita sememangnya betul. Cuba lihat sekarang dunia, mana satu lagi menjadi keutamaan? Duit ataupun agama? Tepuk dada tanya selera.

Allah kurniakan mata untuk manusia supaya melihat, Allah ciptakan telinga untuk mendengar, dan Allah ciptakan otak untuk berfikir, sesungguhnya ciptaan Allah itu sangat berkait antara satu sama lain, bila melihat, lihatlah dengan mata hati dan sampaikan la ia ke otak, supaya ia dapat diolah dengan betul.
"Hidup ini menjadi sempit dan semakin sempit kerana kamu menjalani hidup ini untuk meraih perhatian dan redha manusia di sekeliling kamu. Apa yang kamu ingin lakukan, kamu ukur dengan reda manusia atau kebencian mereka. Ia membuatkan kamu menjalani sebuah kehidupan yang penuh dengan pendustaan" (Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari)
Sama-sama kita renung dan kita usaha untuk amalkan. Amal dengan penuh istiqamah.
"Ketahuilah sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam menambah kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengkagumkan para petani, kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan keampunan daripada Allah serta keampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu "
(Surah al-Hadid ayat 20)
Justeru sama-samalah kita betulkan niat, sucikan hati. Sedarlah, hidup di dunia ini hanya sementara tiada kekalnya. Bukalah minda dan hati agar jangan mudah dan terlalu seronok ditenggelamkan dengan kemewahan dan keseronokkan di dunia ini.
Sesungguhnya semuanya adalah pinjaman Allah. Pinjaman bermaksud Allah boleh bagi dan Allah boleh tarik balik nikmat tersebut bila bila masa sahaja tanpa kita mengetahui dan menyedarinya. Saat kita diberi nikmat kepandaian, jangan lah kita gunakan ia kepada kesesatan. Jika sesat, sukar untuk kita jumpa jalan pulang, terus terjerumus dalam kesesatan melainkan Allah bagi hidayah.
Dan jangan lah sesama sekali kita riak,ujub,bangga dengan pinjaman Allah. Siapalah kita untuk duduk bangga. Kita hanya memiliki nikmat yang hanya akan hilang. Esok lusa Allah murka Allah tarik balik.

Kesimpulannya, beringatlah sahabat.. Kita ini sangat  dekat dengan akhir zaman. Usah kita jadi hamba Allah yang berada dalam kejahilan dan kesesatan tanpa sedar. Ingatlah, dari mana kita datang, dan janganlah sampai kita sesat sehingga mensyirikkan Allah.
Melebihkan Allah dari segalanya seakan kita menjadi hamba kepadanya. Melebihkan material, nafsu, kuasa, pangkat, darjat dan menyandarkannya pada diri sehingga melupakan Allah yang memiliki segalanya seakan kita menafikan keagungan dan kesempurnaan Allah. Takutlah kita pada dosa yang terhijab yang tanpa menyedarinya, kita rupa-rupanya sudah pun berada didalamnya. Iyya uzubillah~
Justeru, sentiasalah betulkan niat dan hati. Sesungguhnya apa yang Allah pinjamkan di dunia ini milik Allah. Ianya akan hilang seperti mana dunia itu hilang. Andai merasa hebat dengan pinjaman Allah, pohonkanlah kemaafan dan keampunan. Sungguh Allah itu Maha Pengampun bahkan Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hambaNya.
Hai anak Adam, sesungguhnya jika kamu meminta dan mengharap ampunanKu, nescaya Aku ampuni dosa yang telah kamu perbuat dan Aku tak peduli. Hai anak Adam, andai kata dosamu seluas langit lalu kamu memohon keampunan, nescaya Aku ampunkan dan Aku tak peduli. Hai anak Adam jika kamu menghadap padaKu dengan membawa dosa sepenuh bumi pula lalu kamu tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan sepenuh bumi pula" 
(Hadis Qudsi, Hadis Riwayat Tirmidzi)